Sunday, November 25, 2007

Entah di mana

Saya hilang kata.

Oleh sebab kata-kata saya indah di mata orang, di telinga orang, di benak orang, tetapi tidak menyentuh hati sendiri, saya mohon izin untuk berdiam diri seketika.

Dalam hidup, saya selalu marah-marah bahawa orang lain meminta bermacam hal kepada saya sehingga saya tiada masa untuk diri sendiri. Kemudian saya kononnya memberontak, untuk hidup demi kemahuan sendiri.

Entah malang, entah memang selayaknya begitu, hidup memberontak saya itu rupanya cuma untuk nampak indah di mata orang.

Benarlah saya memahami banyak hal daripada hidup. Hidup mana ada yang sia-sia kalau saudara ada akal. Tetapi kefahaman itu jadi macam racun. Perlahan-lahan ia memakan saya kerana ia cuma sekadar satu kefahaman, bukan suatu amalan.

Apabila komputer hang,, saudara akan restart. Tapi lama-lama sekali restart sudah tidak cukup, saudara kena reboot. Mungkin juga hardisk saudara sudah corrupt.

Fikiran saya begitulah. Ia sudah corrupt.

Sekarang saya perlu reboot hidup saya. Kalau reboot hardisk mungkin mudah. Pakai bootable disk atau susah benar, tukar sahaja hardisk baru.

Saudara tahu mahu reboot hidup tidak mudah. Saudara perlukan masa. Susun balik alasan di sebalik hidup saudara, mengajar kembali diri apa tugas saudara dan apa yang tidak. Semuanya mesti dilakukan secara manual, semacam command prompt sewaktu zaman awal-awal komputer dahulu. Tiada automatic boot macam Windows

Untuk mengetahui jika ada yang rosak atau salah dalam pemikiran saya tidaklah mudah. Tidak boleh scan sahaja. Perlu ada yang memberitahu. Perlu ada hujah yang membuktikan saya benar-benar salah dan jalan yang ditunjuk orang itu benar.

Banyak orang pandai benar dalam membuatkan benda betul nampak salah. Pegang-pegang tangan antara bukan muhrim contohnya. Dalam tv nampak romantik sahaja. Padahal lebih baik saudara pegang babi daripada pegang tangan bukan muhrim. Bukan saya cakap ya. Ini Muhammad s.a.w yang cakap. Tidak percaya, tanya Ibnu Majah. Kan pandai orang tv.

Membuktikan saya salah juga tidak bermakna saudara betul. Apabila saudara lihat satu jalan itu mati, saudara mesti patah balik ke persimpangan untuk mengambil jalan satu lagi. Dengan keyakinan penuh kali ini saudara betul.

Itu salah. Hidup bukan antara dua benda sahaja. Sama salahnya apabila polis melakukan kawat cam, saksi mesti cenderung memilih salah seorang daripada yang ditunjukkan. Kita begitulah. Selalu ingat bahawa yang kita nampak saat itu sahaja yang wujud. Padahal banyak benda yang kita tidak perasan. Boleh jadi saja polis itu yang sebenarnya jahat.

Berleter panjang-panjang memang tak berguna. Cukup saya kata kalau reboot komputer pun memakan masa 1 jam (sekalipun saudara pakai Dual Core dan RAM 2gb), apatah lagi kalau ia melibatkan hidup.

Saudara mana boleh bandingkan hidup dengan hardisk. Hardisk menyimpan maklumat. Hidup menyimpan hikmah.

p/s: Doa ya. Doa apa? Minta tuhan luruskan jalan hidup saya dan permudahkan urusan saya. Saya minta sungguh-sungguh ini. Saya dalam mood dan mode susah hati; jika orang sebaik saudara pun tidak mahu berdoa untuk saya, siapa lagi?